Kerabat Alam

Kerabat Alam
2003

Thursday, December 31, 2009

KRITIKAN PAMERAN SENI SHAARI DI TAWAU


Karya Seni Abstrak Mohd Shaari
di Kayu Manis Cafe Gallery Tawau

Oleh : Hamzah Lasa

Menyaksikan pameran hasil karya seni visual Mohd Shaari di sebuah Cafe Gallery, di bandar Tawau sejak 26 disember lalu, menarik perhatian pengunjung cafe mengenali karya-karya seni abstrak. Bagi masyarakat di negara ini kehadiran karya seni abstrak masih dianggap baru berbanding di luar negara. Ini kerana pendedahan masyarakat kepada karya seni abstrak agak terbatas menjadikan masyarakat terasing dengannya.
Karya dalam aliran seni abstrak ini sebenarnya mempunyai gayanya tersendiri. Dalam erti kata lain karya seni abstrak merupakan manifestasi idea pengkarya/pelukis berdasarkan pemerhatian, pengalaman, eksplorasi serta kajian-kajian tertentu. Karya seni abstrak mempunyai jiwa, hidup dan bertutur dalam bahasanya sendiri. Seperti kata Herbert Read dalam The meaning of Arts, seni itu ialah ekspresi. Oleh itu seni sebagai suatu pengucapan mengajak dan mendidik masyarakat berdialog dengannya sekali gus menjana daya fikir manusia.
Lebih 20 buah karya seni abstrak Shaari mengungkap persoalan budaya diperagakan di ruang Kayu Manis Cafe Gallery Tawau. Karya catan topeng-topeng (Mask) 2 dimensi berwarna dijelmakan di atas kanvas, di sokong pula dengan arca-arca topeng 3 dimensi yang diperbuat daripada bahan logam menghiasi ruang cafe.Topeng-topeng dibentuk secara semi abstrak dengan olahan gaya yang menarik dan unik. Berdasarkan pembuatan arca topeng yang penuh teliti itu memberi gambaran bahawa pengkarya telah melaksanakan satu home-work yang serius sebelum menghasilkan beberapa buah arca topeng seperti Monkey Musk (2009) dan Hudog Mask Kaum Dayak (2009). Menurut Mohd Shaari penghasilan karya ini adalah berasaskan kajian ikonografi seni budaya suku kaum yang tinggi falsafahnya, tapi ia semakin dilupakan.
Meneliti kepada rupa bentuk topeng yang diketengahkan Shaari, karya ini dapat
menghubungkan alam realiti dan mistikal di sebalik imej tersebut. Bagaimana pun abstraksi karya ini tidaklah menjarakkan sempadan fokus pengamat kepada kepercayaan animisme seperti yang tergambar dalam karya catan Ritual Mask II (Planting Festival). Penegasan imej berwarna suram yang dipalitkan oleh Shaari dikanvas sejajar dengan amalan kepercayaan yang menjadi intipati budaya suku kaum tertentu di kepulauan Borneo.
Meneliti karya catan Mohd Shaari pula, pengkarya dengan bersahaja memadankan warna-warna kontras bagi menghidupkan sifat ketegangan pada karya. Lazimnya pengamat seni mengharapkan gambaran bersifat “sweet” tetapi hakikat ini harus diterima oleh pengamat sebagai ekspresi tulus pengkarya seni.Tidak semua orang dapat menerima karya seni catan seperti yang diketengahkan oleh Shaari. Tambah pula jika gambaran imej abstrak yang dijelmakan sukar dikenali. Sesetengah pengamat pula menolak karya seni seumpama ini dengan alasan “tidak masuk akal” dan sukar difahami . Bagaimana pun masyarakat pengamat tidak boleh dipersalahkan. Ini kerana dalam menanggapi sesebuah hasil karya seni itu setiap individu dan khalayak mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang dilihat. Sesungguhnya kelainan yang ditampilkan oleh Shaari bakal membina paradigma baru terhadap persepsi dan ekspektasi orang ramai terhadap seni. Ada kemungkinan wujudnya suatu reaksi yang negatif kepada orang ramai yang menyaksikan pameran ini terutama kepada peminat seni visual yang sudah terbiasa dengan pameran “gambar-gambar” realistik yang dikatakan “cantik”. Suatu yang menarik menjadi komentar tentang pameran ini ialah kesediaan Shaari mengetengahkan satu bentuk aliran seni moden yang belum begitu popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Langkah beliau ini menepati usaha merobah tanggapan masyarakat terhadap hasil karya seni visual di samping mendidik masyarakat mencintai seni budaya.
Mohd Shaari 38, lulusan UITM yang bertugas sebagai pendidik seni di SMK Kabota Tawau mengambil masa selama enam bulan menyiapkan hasil karya seni beliau. Hasil karya muktahir yang diperagakan di Cafe Gallery merupakan kemuncak penghasilan karya seni tahun 2009. Pameran seni yang berlangsung selama sebulan di Kayu Manis Cafe Gallery ini memberi ruang kepada pengunjung cafe menghayati karya seni sambil menjamu selera. Pameran seni ini juga bakal mencatat sejarahnya sendiri dalam perkembangan seni lukis Sabah kerana satu-satunya Cafe Gallery yang menjadi perintis melaksanakan pameran seni visual di negeri ini.

(Kritikan Dalam Utusan Borneo, Rabu 30 Disember 2009)


 Mohd Shaari

 
Cafe Gallery Kayu Manis, Tawau


Ritual Musk II (Acrylic on Canvas)



Hudog Mask (2009) Metal



 
Tunjang Dayak Mask(2009) Metal





Ritual Mask I (2009) Acrylic on Canvas