Kerabat Alam

Kerabat Alam
2003

Thursday, December 31, 2009

KRITIKAN PAMERAN SENI SHAARI DI TAWAU


Karya Seni Abstrak Mohd Shaari
di Kayu Manis Cafe Gallery Tawau

Oleh : Hamzah Lasa

Menyaksikan pameran hasil karya seni visual Mohd Shaari di sebuah Cafe Gallery, di bandar Tawau sejak 26 disember lalu, menarik perhatian pengunjung cafe mengenali karya-karya seni abstrak. Bagi masyarakat di negara ini kehadiran karya seni abstrak masih dianggap baru berbanding di luar negara. Ini kerana pendedahan masyarakat kepada karya seni abstrak agak terbatas menjadikan masyarakat terasing dengannya.
Karya dalam aliran seni abstrak ini sebenarnya mempunyai gayanya tersendiri. Dalam erti kata lain karya seni abstrak merupakan manifestasi idea pengkarya/pelukis berdasarkan pemerhatian, pengalaman, eksplorasi serta kajian-kajian tertentu. Karya seni abstrak mempunyai jiwa, hidup dan bertutur dalam bahasanya sendiri. Seperti kata Herbert Read dalam The meaning of Arts, seni itu ialah ekspresi. Oleh itu seni sebagai suatu pengucapan mengajak dan mendidik masyarakat berdialog dengannya sekali gus menjana daya fikir manusia.
Lebih 20 buah karya seni abstrak Shaari mengungkap persoalan budaya diperagakan di ruang Kayu Manis Cafe Gallery Tawau. Karya catan topeng-topeng (Mask) 2 dimensi berwarna dijelmakan di atas kanvas, di sokong pula dengan arca-arca topeng 3 dimensi yang diperbuat daripada bahan logam menghiasi ruang cafe.Topeng-topeng dibentuk secara semi abstrak dengan olahan gaya yang menarik dan unik. Berdasarkan pembuatan arca topeng yang penuh teliti itu memberi gambaran bahawa pengkarya telah melaksanakan satu home-work yang serius sebelum menghasilkan beberapa buah arca topeng seperti Monkey Musk (2009) dan Hudog Mask Kaum Dayak (2009). Menurut Mohd Shaari penghasilan karya ini adalah berasaskan kajian ikonografi seni budaya suku kaum yang tinggi falsafahnya, tapi ia semakin dilupakan.
Meneliti kepada rupa bentuk topeng yang diketengahkan Shaari, karya ini dapat
menghubungkan alam realiti dan mistikal di sebalik imej tersebut. Bagaimana pun abstraksi karya ini tidaklah menjarakkan sempadan fokus pengamat kepada kepercayaan animisme seperti yang tergambar dalam karya catan Ritual Mask II (Planting Festival). Penegasan imej berwarna suram yang dipalitkan oleh Shaari dikanvas sejajar dengan amalan kepercayaan yang menjadi intipati budaya suku kaum tertentu di kepulauan Borneo.
Meneliti karya catan Mohd Shaari pula, pengkarya dengan bersahaja memadankan warna-warna kontras bagi menghidupkan sifat ketegangan pada karya. Lazimnya pengamat seni mengharapkan gambaran bersifat “sweet” tetapi hakikat ini harus diterima oleh pengamat sebagai ekspresi tulus pengkarya seni.Tidak semua orang dapat menerima karya seni catan seperti yang diketengahkan oleh Shaari. Tambah pula jika gambaran imej abstrak yang dijelmakan sukar dikenali. Sesetengah pengamat pula menolak karya seni seumpama ini dengan alasan “tidak masuk akal” dan sukar difahami . Bagaimana pun masyarakat pengamat tidak boleh dipersalahkan. Ini kerana dalam menanggapi sesebuah hasil karya seni itu setiap individu dan khalayak mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang dilihat. Sesungguhnya kelainan yang ditampilkan oleh Shaari bakal membina paradigma baru terhadap persepsi dan ekspektasi orang ramai terhadap seni. Ada kemungkinan wujudnya suatu reaksi yang negatif kepada orang ramai yang menyaksikan pameran ini terutama kepada peminat seni visual yang sudah terbiasa dengan pameran “gambar-gambar” realistik yang dikatakan “cantik”. Suatu yang menarik menjadi komentar tentang pameran ini ialah kesediaan Shaari mengetengahkan satu bentuk aliran seni moden yang belum begitu popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Langkah beliau ini menepati usaha merobah tanggapan masyarakat terhadap hasil karya seni visual di samping mendidik masyarakat mencintai seni budaya.
Mohd Shaari 38, lulusan UITM yang bertugas sebagai pendidik seni di SMK Kabota Tawau mengambil masa selama enam bulan menyiapkan hasil karya seni beliau. Hasil karya muktahir yang diperagakan di Cafe Gallery merupakan kemuncak penghasilan karya seni tahun 2009. Pameran seni yang berlangsung selama sebulan di Kayu Manis Cafe Gallery ini memberi ruang kepada pengunjung cafe menghayati karya seni sambil menjamu selera. Pameran seni ini juga bakal mencatat sejarahnya sendiri dalam perkembangan seni lukis Sabah kerana satu-satunya Cafe Gallery yang menjadi perintis melaksanakan pameran seni visual di negeri ini.

(Kritikan Dalam Utusan Borneo, Rabu 30 Disember 2009)


 Mohd Shaari

 
Cafe Gallery Kayu Manis, Tawau


Ritual Musk II (Acrylic on Canvas)



Hudog Mask (2009) Metal



 
Tunjang Dayak Mask(2009) Metal





Ritual Mask I (2009) Acrylic on Canvas


2 comments:

  1. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang pantas berubah ini mencabar keupayaan kita untuk sanggup berubah supaya apa yang dilakukan akan terus relevan. Kita tidak boleh terus menerus melakukan perkara yang sama sedangkan masa begitu pantas berubah. Kita perlu sentiasa meneliti amalan supaya terus berkembang sesuai dengan perkembangan semasa dan akan datang. Dalam usaha mencari dan meneroka perkara dan pengetahuan baru, bentuk dan kandungan pengetahuan kita perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

    Dalam persekitaran pengiat seni sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi yang kompleks yang memerlukan tindakan yang sesuai bagi mengatasi masalah pemahaman dan penerimaan masyarakat ke atas hasil karya mereka. Salah satu cara yang sesuai dijalankan untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menjalankan penyelidikan ke atas amalan seharian, membuat refleksi dan mengambil tindakan untuk meningkatkan lagi mutu penghasilan karya. Yang pentingnya, melalui penyelidikan yang dijalankan, ianya bukan sahaja dapat membantu pengiat seni mengatasi masalah tetapi juga dapat membawa perubahan dalam amalan pengiat seni itu sendiri dan juga dapat menggerakkan minat masyarakat sekeliling yang lain.

    Menurut pandangan saya hasil karya Mohd Shaari ini lebih kepada kontek sejarah dan budaya setempat. Dalam konteks persekitaran masyarakat pelbagai budaya, ada kemungkinan persekitaran budaya masyarakat yang dikaji adalah berbeza sama sekali dengan budaya Mohd Shaari. Saya lihat Mohd Shaari sensitif terhadap budaya masyarakat yang dijelmakan dalam bentuk abstrak. Ini melibatkan status dan kedudukan Mohd Shaari yang banyak bergantung kepada definisi yang diberikan oleh masyarakat sekeliling. Bagi penulis, Mohd Shaari sendiri mampu untuk mengawal situasi ini memandangkan beliau memasuki dan mengamalkan entiti budaya tersebut. Kita perlu bersikap ikhlas tentang asal usul kita sama ada dari segi peribadi mahupun profesional.

    Akhir kata tahniah untuk saudara Mohd Shaari yang berjaya merealisaikan satu persembahan yang matang dan bertenaga dalam menjelmakan satu hasil karya yang baik.

    ReplyDelete
  2. tahniah dan sangat baik penilaian tuan..teruskan.....

    ReplyDelete